~Ahlan Wa Sah Lan Ya Zulhijjah-Keutamaan 10 Hari Pertama Bulan Zulhijjah~

Harini dah masuk 2 Zulhijjah..tapi tetap nak ucapkan ah lan wa sah lan ya Zulhijjah. Selalunya kita sering ingat 10 malam-malam terakhir Ramadhan, tetapi kita sering terlupa bahawa keistimewaan dan keutamaan 10 hari pertama bulan Zulhijjah.
10 hari pertama bulan Dzulhijjah
Zulhijjah adalah bulan terakhir dalam takwim Islam selepas berlalunya Zulkaedah.

Banyak kelebihan Zulhijjah iaitu bulan haji terutama pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah, kesemua amal soleh yang dikerjakan pada hari ini lebih dicintai Allah سبحانه وتعالى daripada hari-hari yang lain.

Dari Ibnu Abbas Radliyallaahu ‘anhu; Rasulullah ﷺ bersabda:
ماَالْعَمَلُ فىِ اَياَّمٍ اَفْضَلُ مِنْهاَ فِى هَذِهِ. قَالُوْا: وَلاَ الْجِهاَدُ؟ قَالَ: وَلاَالْجِهَادُ اِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُبِنَفْسِهِ وَماَلِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ.
“Tidak ada hari di mana amal soleh pada masa itu lebih dicintai oleh Allah daripada hari-hari ini, iaitu: sepuluh hari dari bulan Zulhijjah.”Mereka bertanya, “Ya Rasulullah, tidak juga jihad fi sabilillah?” Baginda menjawab, “Tidak juga jihad fi sabilillah, kecuali orang yang keluar (berjihad) dengan jiwa dan hartanya, kemudian tidak kembali dengan suatu apa pun.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.).

Amalan/Ibadah Yang Disyariatkan Pada 10 Hari Awal Zulhijjah

1. Menunaikan Sebaik-Baik Amalan Iaitu Ibadat Haji Dan Umrah

Amal ini adalah yang paling utama, berdasarkan sebuah hadis:
اَلْعُمْرَةُ اِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لمِاَبَيْنَهُمَا, وَالْحَجُّ الْمَبْرُوْرُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ اِلاّ الْجَنَّةُ.
“Satu umrah ke umrah berikutnya, terdapat penghapusan dosa di antara keduanya; Dan haji yang mabrur tidak ada pahala (yang selayaknya) kecuali syurga.”(Muttafaq alaih dari Abu Hurairah)

2. Berpuasa
Berpuasa pada 10 hari-hari tersebut atau sebahagian daripadanya, yang paling utama adalah pada hari ke-9 Zulhijjah, iaitu puasa pada hari Arafah bagi umat Islam yang tidak melaksanakan ibadah haji pada tahun tersebut. Puasa ini dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.

عَنْ اَبِيْ قَتَادَةَ قَالَ: سُئِلَ رَسُوْلُ اللّهِ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ؟ فَقَالَ: يُكَفِّرُ االسَّنَةَ المْاَضِيَةَ وَ الْبَاقِيَةَ.
Dari Abu Qatadah, ia berkata: Rasulullah ﷺ pernah ditanya perihal berpuasa pada hari Arafah. Maka Baginda menjawab, “Dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelum dan sesudahnya.”(Hadis Riwayat Imam Muslim)

3. Memperbanyakan Zikir
Dari Ummu Hani ra dia berkata: “Suatu ketika melintas Rasulullah ﷺ dihadapanku. Lalu saya berkata , “Ya Rasulullah ﷺ saya sudah tua dan lemah. Beritahukanlah padaku suatu amalan agar dapat saya kerjakan sambil duduk.” Baginda bersabda:
“Bacalah ‘Subhanallah’ 100 kali, itu seimbang bagimu dengan memerdekakan 100 orang budak dari keturunan Nabi Ismail AS.
Bacalah ‘Alhamdulillah’ 100 kali, itu seimbang bagimu dengan menyedekahkan 100 ekor kuda yang bercahaya dan terkawal yang disedekahkan dijalan Allah سبحانه وتعالى.
Bacalah ‘Allahu Akbar’ 100 kali, itu seimbang bagimu dengan menyembelih 100 ekor unta yang terkurban dan diterima di sisi Allah سبحانه وتعالى.
Dan bacalah ‘Laa ilaaha illallah’ 100 kali.”
Abu Khalfin berkata aku kira pahalanya akan memenuhi antara langit dan bumi, dan tidak ada yang melebihinya darimu kecuali orang yang mengamalkannya melebihimu.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Sebagaimana firman Allah سبحانه وتعالى:
وَ يَذْكُرُ وْا اسْمَ اللهِ فِى أَيَّامٍ مَّعْلُوْمَتٍ
“… Dan supaya mereka menyebut nama ALLAH pada hari-hari yang telah ditentukan …” (Surah Al-Hajj: Ayat 28).
Para ahli tafsir menafsirkannya dengan 10 hari dari bulan Zulhijjah. Kerana itu, para ulama menganjurkan untuk memperbanyak zikir dan takbir pada hari-hari tersebut.

4. Bertakbir
Bertakbir pada bila-bila masa pada hari-hari yang mulia di waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan solat fardu yang dikerjakan secara berjemaah.
Bagi mereka yang berada di tanah air dan tidak mengerjakan ibadah haji, takbir bermula dari Subuh hari Arafah (9 Zulhijah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijah). Semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijah.

Adapun lafaz Takbir Rayanya adalah:
اَللهُ أَكْبَرُ اَللهُ أَكْبَرُ اَللهُ أَكْبَرُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ – × 5/3
اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ.
“Allah Maha Besar sebenar-benar agung, segala pujian bagi Allah. Maha suci Allah pada waktu pagi dan petang, tiada Tuhan yang disembah melain-kan Allah. Dan kami tidak menyembah melainkan kepada-Nya dengan ikhlas hati. Baginya agama walaupun dibenci oleh orang kafir. Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa. Ia membenarkan janji-Nya, membantu hamba-Nya, memuliakan tentera-Nya dan Dia sendiri menewaskan pakatan musuh.”

5. Banyakkan Berdoa
Allah سبحانه وتعالى Maha adil dan Maha Penyayang terhadap seluruh umat Islam, walaupun kita tidak berada di Tanah Suci, kita boleh mendapat pelbagai ganjaran pahala asalkan kita menghayati ‘Roh Haji’.
Berdoa pada Malam dan Hari Arafah adalah berdoa ketika jemaah haji berada di Padang Arafah pada 09 Zulhijjah. Doa seperti doa Arafah dan doa Akasyah tidak hanya dibaca oleh jemaah haji tetapi juga dianjurkan bagi semua kaum muslimin.
Dengan doa ini diharapkan kita terjaga dari segala bencana, dan disampaikan oleh Allah سبحانه وتعالى pada hajat dunia dan akhirat yang kita harapkan. Lebih khusus lagi dengan doa ini kita doakan semoga ibadah haji saudara-saudara kita menjadi haji yang mabrur, diredhai oleh Allah سبحانه وتعالى, diberi kesihatan yang baik dan diselamatkan dari segala bencana.

6. Meninggalkan Maksiat Dan Bertaubat
Tiada satu manusia biasa pun yang terlepas dari dosa dan maksiat, hal ini merupakan sunnatullah. Di antara yang boleh menghapuskan dosa dan maksiat adalah dengan bertaubat dan istighfar.
Rasulullah ﷺbersabda:
لَوْ لَمْ تُذْنِبُوْا لَذَهَبَ اللهُ بِكُمْ وَ لَجَآءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُوْنَ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُوْنَ فَيَغْفِرْلَهُمْ.
“Seandainya kamu tidak pernah berbuat dosa, pastilah Allah membinasakan kamu dan akan didatangkannya suatu kaum yang melakukan dosa, lalu mereka beristighfar dan Allah pun mengampuni mereka.”(Hadis Riwayat Abu Ayyub Al-Ansari)

7. Melaksanakan Amal Soleh
Memperbanyakkan amalan soleh (baik), melakukan ketaatan dan mendekatkan kepada Allah سبحانه وتعالى serta menunaikan perintah dan menjauhi larangan-Nya. Terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, bersedekah, bersyukur, berjihad, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya. Hal ini kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Semoga kita sentiasa mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

8. Melaksanakan Solat Aidil Adha
Menunaikan Solat Hari Raya Aidil Adha secara berjemaah dan mendengar khutbahnya. Rasulullah ﷺ selalu melakukan solat pada kedua-dua hari raya secara berjemaah dan tidak pernah meninggalkannya, sejak dari disyariatkannya sehingga Baginda wafat.
Rasulullah ﷺ memerintahkan kepada kaum kaum muslimin dan muslimat untuk melaksanakannya, bahkan wanita yang sedang haid pun diperintahkan untuk menghadiri tetapi tidak melakukannya.

9. Menyembelih Korban
Mengerjakan amalan ibadah korbanpada Hari Raya Haji dan pada 11, 12, 13 Zulhijah (Hari Tasyrik) adalah sunnah (amalan) Nabi Ibrahim AS selepas Allah سبحانه وتعالى mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
Nabi Muhammad ﷺ telah bersabda: “Tiada satu amalan yang paling dicintai Allah سبحانه وتعالى. daripada Bani Adam a.s ketika Hari Raya Aidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah سبحانه وتعالى sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya.” (Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim).
Begitu besar keutamaan 10 hari pertama bulan Zulhijjah, semua amal soleh yang dikerjakan pada hari itu lebih dicintai Allah سبحانه وتعالى daripada hari-hari yang lain. Maka jangan sampai disia-siakan peluang ini… marilah kita ikhlaskan niat dan perbanyakkanlah amal soleh dengan mengikuti ibadah-ibadah yang disyariatkan tersebut.
والله أعلم بالصواب

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s